Kemudian Musa memanggil semua tua-tua Israel dan berkata kepada mereka, “Pergilah, ambillah anak domba bagi kaum keluargamu, dan sembelihlah domba Paskah.Ambillah seikat ranting hisop, celuplah di dalam darah yang telah ditempatkan dalam sebuah mangkuk, lalu sapukanlah darah itu pada ambang pintu serta kedua-dua tiang pintu rumah. Tiada seorang pun dalam kalangan kamu boleh keluar dari pintu rumahnya sampai pagi hari,kerana TUHAN akan melintas untuk mengazabkan warga Mesir. Apabila Dia melihat darah pada ambang pintu serta kedua-dua tiang pintu sesebuah rumah, maka TUHAN akan melalui pintu itu dan tidak membiarkan pemusnah masuk ke dalam rumahmu untuk mengazabkan kamu.Lakukanlah hal ini setiap kali dan jadikannya sebagai suatu ketetapan bagimu serta bagi anak-anakmu buat selama-lamanya.Jadi, apabila kamu telah memasuki negeri yang akan TUHAN kurniakan kepadamu seperti yang difirmankan-Nya, kamu hendaklah terus memegang ibadat ini.Nanti, apabila anak-anakmu bertanya kepadamu, ‘Apakah erti ibadat ini kepada Ayah?’maka kamu harus menjawab, ‘Ini korban Paskah bagi TUHAN. Ketika TUHAN mengazabkan warga Mesir, Dia melalui rumah-rumah orang Israel di Mesir dan menyelamatkan rumah-rumah kita.’ ” Lalu orang Israel menundukkan kepala dan sujud menyembah.Kemudian pergilah orang Israel, melaksanakan apa yang diperintahkan oleh TUHAN kepada Musa dan Harun.Pada tengah malam TUHAN mematikan semua anak sulung di Tanah Mesir, daripada anak sulung Firaun yang duduk di atas takhta sampai anak sulung para tawanan yang ada di dalam kurungan bawah tanah, juga semua anak sulung haiwan.Maka bangunlah Firaun pada malam itu, demikian pula semua pegawainya dan semua warga Mesir. Lalu terdengarlah tangisan yang dahsyat di Mesir, kerana tidak ada rumah yang tidak berlaku kematian.Pada malam itu juga Firaun memanggil Musa dan Harun, katanya, “Segeralah keluar daripada kalangan rakyatku, baik kamu mahupun orang Israel! Pergilah, beribadatlah kepada TUHAN seperti katamu itu.