Pada hari itu juga, Yesus keluar dari rumah lalu duduk di pinggir laut.Sungguh ramai orang datang berasak-asak di sekeliling-Nya. Yesus pun masuk ke dalam sebuah perahu dan duduk di situ manakala orang ramai itu berdiri di pantai.Yesus memberitahu mereka banyak perkara melalui ibarat. Dia berkata: “Seorang penyemai pergi menabur.Semasa dia menabur benih, ada yang jatuh di tepi jalan lalu dimakan burung.Ada pula yang jatuh di tempat berbatu yang kurang tanahnya. Benih itu segera bercambah kerana tanahnya tidak dalam.Tetapi ketika matahari naik, tunas-tunas itu layu lalu kering kerana tidak berakar.Ada pula yang jatuh di tengah-tengah semak duri, lalu semak membesar dan membantutkannya.Namun demikian, ada yang jatuh di tanah yang subur dan memberikan hasil: seratus kali ganda, enam puluh kali ganda, atau tiga puluh kali ganda.Sesiapa yang bertelinga, dengarlah!”