Selepas itu, Yesus pergi bersama mereka ke sebuah tempat bernama Getsemani, lalu Dia berkata kepada murid-murid-Nya, “Duduklah di sini sementara Aku berdoa di sana.”Yesus membawa bersama-Nya Petrus dan kedua-dua anak Zebedeus. Dia mula berasa dukacita dan resah.Dia berkata kepada mereka, “Jiwa-Ku sungguh dukacita, bagaikan mati. Duduklah di sini berjaga bersama-Ku.”Yesus pergi jauh sedikit dari situ lalu sujud menyembamkan muka ke tanah dan berdoa, “Ya Bapa-Ku, kalaulah dapat, edarkanlah cawan ini daripada-Ku; namun, bukanlah seperti yang Kukehendaki, melainkan seperti yang Kaukehendaki.”Kemudian Dia kembali kepada murid-murid-Nya dan mendapati mereka tertidur; lalu Dia berkata kepada Petrus, “Satu jam pun kamu tidak dapat berjaga bersama-Ku?Berjaga dan berdoalah, takut nanti kamu tergoda. Memang rohani rela, tetapi jasmani lemah.”Bagi kali kedua, Dia pergi dan berdoa, “Ya Bapa-Ku, jika cawan ini tidak mungkin beredar daripada-Ku melainkan Kuminum, terlaksanalah kehendak-Mu.”Selepas itu, Dia mendapati mereka tidur lagi, kerana mata mereka sungguh mengantuk.Dia pun meninggalkan mereka dan pergi berdoa lagi, bagi kali ketiga. Dia mengucapkan kata-kata yang sama.Setelah itu, Dia mendapatkan murid-murid-Nya lalu berkata, “Adakah kamu masih tidur dan berehat? Lihatlah, masanya telah menjelang, dan Anak Manusia sedang dikhianati untuk diserahkan ke tangan orang berdosa.Bangunlah, mari kita pergi. Lihat, pengkhianat-Ku sudah tiba.”Ketika Dia sedang berkata-kata itu, seorang daripada murid-Nya yang dua belas, Yudas, datang diiringi orang yang sangat ramai dan bersenjatakan pedang serta belantan. Mereka datang daripada ketua-ketua imam dan tua-tua.Pengkhianat Yesus telah menetapkan satu isyarat dengan mereka, “Yang kucium nanti, itulah Dia; tangkaplah Dia.”Dengan segera dia menghampiri Yesus sambil berkata, “Selamat sejahtera, Rabbi!” lalu mencium-Nya.Yesus berkata kepadanya, “Kawan, mengapakah kamu datang?” Orang ramai itu pun menangkap Yesus.Tiba-tiba seorang murid Yesus menghunus pedangnya lalu menetak hamba imam besar, sehingga terputus telinganya.Tetapi Yesus berkata kepada murid-Nya itu, “Simpan semula pedangmu di tempatnya yang wajar, kerana semua yang menggunakan pedang akan musnah dimakan pedang.Adakah kamu sangka Aku tidak boleh berdoa supaya Bapa-Ku menghantar lebih daripada dua belas pasukan tentera malaikat untuk menolong-Ku?Bukankah kejadian ini mesti berlaku supaya yang tersurat dalam Kitab Suci ternyata benar?”Kemudian Yesus berkata kepada orang ramai itu, “Patutkah kamu datang, bagaikan hendak menangkap perompak, dengan pedang dan belantan, untuk membawa-Ku pergi? Hari demi hari Aku duduk bersamamu, mengajar di Bait Suci, dan kamu tidak menangkap-Ku.Tetapi segala ini berlaku supaya yang tersurat dalam kitab nabi-nabi terlaksana.” Setelah itu, semua murid Yesus meninggalkan-Nya, masing-masing melarikan diri.
Alkitab Versi Borneo, Hak Cipta © 2015 Borneo Sabda Limited