Pada suatu hari semasa Yesus berdiri di tepi pantai Tasik Genesaret, ramai orang berasak-asak mengerumuni-Nya untuk mendengar firman Allah.Dia melihat dua buah perahu di situ. Para nelayan yang menangkap ikan telah turun dari perahu itu untuk membasuh jala mereka.Yesus naik ke dalam salah sebuah perahu, iaitu perahu Simon dan memintanya menolak perahu itu jauh sedikit dari pantai. Yesus duduk dan mengajar orang ramai dari perahu itu.Setelah selesai mengajar, Dia berkata kepada Simon, “Tolaklah ke air yang dalam dan tebarkan jalamu untuk menangkap ikan.”Simon menjawab, “Tuan, semalaman kami cuba sedaya upaya tetapi tidak dapat menangkap apa-apa pun. Tetapi, kerana kata-kata Engkau itu, maka aku akan menebarkan jala.”Setelah menebarkan jala, mereka menangkap begitu banyak ikan sehingga jala hampir terkoyak.Mereka memanggil rakan-rakan dari perahu lain supaya datang menolong. Mereka datang lalu memenuhi kedua-dua buah perahu itu dengan ikan sehingga perahu-perahu itu hampir tenggelam.Apabila Simon Petrus melihat apa yang telah berlaku, dia berlutut di hadapan Yesus dan berkata, “Tinggalkan hamba, ya Tuhan, kerana hamba seorang yang berdosa!”Simon dan semua orang yang bersamanya takjub melihat begitu banyak ikan yang dapat ditangkap mereka.Begitu juga Yakobus dan Yohanes, anak-anak Zebedeus, rakan-rakan Simon. Yesus berkata kepada Simon, “Jangan takut! Mulai sekarang, engkau akan menjala manusia!”Setelah mereka menyadaikan perahu-perahu itu, mereka meninggalkan semuanya lalu mengikut Yesus.
Alkitab Versi Borneo, Hak Cipta © 2015 Borneo Sabda Limited