Dengan demikian, sekarang tidak ada hukuman bagi orang yang ada dalam Kristus Yesus.Kerana melalui Kristus Yesus hukum Roh kehidupan telah membebaskanku daripada hukum dosa dan kematian.Apa yang tidak dapat dilakukan oleh Taurat kerana lemahnya tabii manusia, telah dilakukan oleh Allah dengan menghantar Anak-Nya dalam bentuk manusia berdosa untuk menjadi persembahan menebus dosa. Dengan demikian Dia menghukum dosa dalam diri manusia berdosa.Allah berbuat demikian supaya kita dapat menunaikan kehendak-kehendak hukum dalam diri kita dengan sepenuhnya, mengikut kehendak Roh dan bukan mengikut kehendak sifat tabii.Bagi orang yang hidup menurut sifat tabii yang berdosa, fikirannya tertumpu kepada apa yang diingini oleh sifat tabii itu; tetapi bagi orang yang hidup menurut Roh, jiwanya tertumpu kepada apa yang diingini oleh Roh.Fikiran yang dikuasai oleh sifat tabii yang berdosa, adalah kematian. Tetapi fikiran yang dikuasai oleh Roh, adalah kehidupan dan kesejahteraan.Fikiran sifat tabii yang berdosa memusuhi Allah kerana fikiran demikian tidak tunduk kepada hukum Allah dan tidak dapat berbuat demikian.Orang yang dikawal oleh sifat tabii yang berdosa tidak berupaya mendapat keredaan Allah.Tetapi kamu dikawal bukan oleh sifat tabii yang berdosa tetapi oleh Roh, jika Roh Allah hidup dalam dirimu. Dan jika seseorang tidak ada Roh Kristus, dia bukanlah milik Kristus.Sebaliknya jika Kristus ada dalam dirimu, tubuhmu mati kerana dosa, namun rohmu hidup kerana perbenaran.Dan jika Roh Dia yang telah membangkitkan Yesus daripada kematian hidup dalam dirimu, maka Dia yang telah membangkitkan Kristus Yesus daripada kematian akan juga memberikan kehidupan kepada tubuhmu yang fana melalui Roh-Nya, yang hidup dalam dirimu.Dengan demikian, saudara-saudaraku, kita ada kewajipan tetapi bukan terhadap sifat tabii yang berdosa dan hidup menurut sifat tabii itu.Kerana jika kamu hidup menurut sifat tabii yang berdosa, kamu akan mati; tetapi jika dengan Roh itu kamu mematikan perbuatan-perbuatan salah tubuhmu, kamu akan hidup,kerana orang yang dipimpin oleh Roh Allah ialah anak-anak Allah.Kerana kamu bukanlah menerima Roh yang menyebabkan kamu diperhamba lagi oleh ketakutan, tetapi telah menerima Roh yang menjadikanmu anak Allah. Dan dengannya kita berseru, “Abba, Bapa.”Roh itu sendiri memberikan kesaksian dengan roh kita bahawa kita anak Allah.Jika kita anak, maka kita waris-waris Allah, waris bersama dengan Kristus, jika kita benar-benar berkongsi penderitaan-Nya supaya dapat berkongsi kemuliaan-Nya kelak.Aku menganggap bahawa penderitaan kita sekarang terlalu kecil untuk dibandingkan dengan kemuliaan yang akan dinyatakan kepada kita.
Alkitab Versi Borneo, Hak Cipta © 2015 Borneo Sabda Limited