Datanglah firman TUHAN kepadaku demikian,“Wahai anak manusia, bernubuatlah menentang para gembala Israel. Bernubuatlah dan katakan kepada mereka, kepada para gembala itu: Beginilah firman Tuhan ALLAH, ‘Malangnya para gembala Israel yang hanya mengurus diri sendiri! Bukankah gembala seharusnya mengurus dombanya?Lemaknya kamu nikmati, bulunya kamu jadikan pakaian, dan yang gemuk kamu sembelih, tetapi domba itu sendiri tidak kamu beri makan.Yang lemah tidak kamu kuatkan, yang sakit tidak kamu ubati, yang luka tidak kamu balut, yang terhalau tidak kamu bawa pulang, dan yang hilang tidak kamu cari. Kamu menguasai mereka dengan kekerasan dan kebengisan.Mereka tercerai-berai kerana tidak bergembala, dan kerana tercerai-berai, mereka menjadi makanan bagi segala binatang liar.Domba-Ku tersesat di semua gunung dan di atas semua bukit yang tinggi. Mereka tercerai-berai di seluruh muka bumi tanpa ada yang memperhatikan ataupun mencari mereka.Oleh sebab itu, wahai para gembala, dengarlah firman TUHAN:Demi Aku yang hidup, demikianlah firman Tuhan ALLAH, sesungguhnya kerana domba-Ku menjadi mangsa dan makanan segala binatang liar akibat tidak ada yang menggembala, dan kerana para gembala-Ku tidak memperhatikan domba-Ku, melainkan hanya mengurus diri sendiri sedangkan domba-Ku tidak diurus mereka,maka dengarlah firman TUHAN, wahai para gembala.Beginilah firman Tuhan ALLAH: Sesungguhnya, Aku akan menjadi lawan para gembala itu. Aku akan menuntut domba-Ku daripada tangan mereka dan memecat mereka daripada pekerjaan menggembala domba. Para gembala itu tidak boleh mengurus diri mereka sendiri lagi. Aku akan melepaskan domba-Ku daripada mulut mereka sehingga tidak menjadi makanan mereka lagi.Kerana beginilah firman Tuhan ALLAH: Sesungguhnya, Aku sendiri akan memperhatikan domba-Ku dan mencari mereka.Seperti seorang gembala mencari dombanya ketika domba itu tercerai daripada kawanannya, demikianlah Aku akan mencari domba-Ku dan menyelamatkan mereka dari semua tempat mereka tercerai-berai pada hari yang berawan dan kelam pekat.Aku akan membawa mereka daripada kalangan bangsa dan mengumpulkan mereka dari berbagai-bagai negeri lalu membawa mereka ke tanah mereka. Aku akan menggembala mereka di atas gunung-gunung Israel, di alur-alur sungainya, dan di semua tempat yang dihuni orang di negeri itu.Aku akan menggembala mereka di padang rumput yang baik. Padang ragut mereka akan ada di atas gunung-gunung Israel yang tinggi. Di sana, di atas gunung-gunung Israel itu, mereka akan berbaring di padang ragut yang baik dan akan merumput di padang rumput yang subur.Aku sendiri akan menggembala domba-Ku dan Aku akan membaringkan mereka, demikianlah firman Tuhan ALLAH.Yang hilang akan Kucari, yang terhalau akan Kubawa pulang, yang luka akan Kubalut, dan yang lemah akan Kukuatkan, tetapi yang gemuk dan yang kuat akan Kubinasakan. Aku akan menggembala mereka dengan keadilan.
Alkitab Versi Borneo, Hak Cipta © 2015 Borneo Sabda Limited