Yesus pun merapati mereka, mengambil roti lalu memberikannya kepada mereka. Begitu juga dilakukan-Nya dengan ikan.Itulah kali ketiga Yesus menampakkan diri kepada murid-murid-Nya setelah Dia dibangkitkan daripada kematian.Selepas sarapan bersama-sama, Yesus bertanya kepada Simon Petrus, “Simon anak Yohanes, adakah kamu benar-benar mengasihi-Ku lebih daripada mereka ini?” Petrus menjawab, “Ya Tuhan, Engkau tahu bahawa aku mengasihi-Mu.” Yesus berkata kepadanya, “Berilah anak-anak domba-Ku makan.”Bagi kali kedua Yesus bertanya, “Simon anak Yohanes, adakah kamu benar-benar mengasihi-Ku?” Petrus menjawab, “Ya Tuhan, Engkau tahu bahawa aku mengasihi-Mu.” Yesus berkata kepadanya, “Peliharalah domba-domba-Ku.”Bagi kali ketiga Yesus bertanya kepadanya, “Simon anak Yohanes, adakah kamu mengasihi-Ku?” Petrus sedih kerana Yesus bertanya kepadanya bagi kali ketiga, “Adakah kamu mengasihi-Ku?” Lalu dia menjawab, “Tuhan, Engkau mengetahui segala-galanya. Engkau tahu bahawa aku mengasihi-Mu!” Yesus berkata kepadanya, “Berilah domba-domba-Ku makan.
Alkitab Versi Borneo, Hak Cipta © 2015 Borneo Sabda Limited